SELAMAT DATANG
SELAMAT DATANG

DARI MEJA GB

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENYAYANG

Marilah sama-sama kita bersyukur ke hadrat Allah SWT atas kurniaan dan nikmatnya yang pelbagai dan tidak terkira kepada kita semua. Diantaranya nikmat kesihatan dan melanjutkan usia kita semua dan dapat berjumpa kembali, seterusnya untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab kita bagi tahun ini.

Saya mengambil kesempatan di sini untuk lagi sekali merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan yang tidak terhingga kepada semua warga SKLGM atas kerjasama dan komitmen sepanjang tahun lepas. Moga-moga amalan terpuji seperti itu akan terus menjadi budaya kerja kita bagi tahun ini dan tahun-tahun mendatang.

Sesungguhnya dalam beberapa tahun kebelakangan ini sekolah kita melakarkan beberapa kejayaan dalam bidang kurikulum dan kokurikulum. Semuanya itu dapat kita jelmakan disebabkan wujud kerjasama, komitmen, kesungguhan, pengorbanan dan semangat yang tinggi untuk menaikkan nama organisasi iaitu sekolah kita.

Sebenarnya kita bekerja seperti satu pasukan bola sepak yang saling melengkapi dan memerlukan diantara satu dengan yang lain. Semua personel yang berada di posisi masing-masing mempunyai peranan dan tugas untuk menjaringkan gol. Samalah halnya dengan kita, penting dan berperanan untuk memacu pengurusan/pentadbiran organisasi/sekolah bagi mencapai hasrat/matlamat kita bersama, dalam bidang kurikulum, sahsiah murid dan kokurikulum. Iaitu kecemerlangan dan keseimbangan JERI seperti yang dikehendaki dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).

Untuk menggerakkan daya kerja di sekolah kita, saya sudah perkenalkan lebih daripada dua puluh Prinsip Bestari Sekolah (PBS) untuk diterjemahkan dalam kerja buat seharian kita. Diantaranya ialah “Budaya 730130” – 6 jam di sekolah gunakan secara maksimum. Manakala “S3B” – Seronok, Bangga, Berkesan, Berjaya.

Marilah kita bekerja sepanjang tahun ini untuk memperolehi keberkatan daripada ALLAH SWT dan mencipta kecemerlangan untuk anak-anak kita demi Agama, Bangsa dan Negara.

SELAMAT BERTUGAS

Sekian, terima kasih.

HAJI MOHD ZAID BIN HAJI ABDULLAH
Guru Besar
SK Ladang Gajah Mati